Tuesday, May 12, 2015

Keintelektualan yang disalah anggap

Keintelektualan mengikut definisi kamus Dewan Bahasa dan Pustaka adalah perihal (kemampuan) menggunakan intelek atau akal budi. Mengikut definisi saya pula, keintelektualan merupakan suatu hasil pemikiran yang kritis dan membawa pelbagai manfaat kepada orang lain yang menerima idea intelek tersebut dengan penuh yakin. Sifat intelektual boleh jadi ada pada setiap orang yang mendalami ilmu. Akan tetapi ilmu yang bagaimana didalami oleh seseorang itu sehingga dia dapat mencapai tahap keintelektualan secara tepat dan benar.

Di sini suka untuk saya campakkan persoalan ke dalam fikiran pembaca tentang apakah yang diasahkan di dalam minda kita saat kita membaca sesuatu makalah atau buku? Secara fitrahnya, manusia pasti akan mencari bahan bacaan yang boleh menambah motivasi, semangat, kekuatan, atau skema jawapannya untuk menambah ilmu pengetahuan. Persoalannya lagi, apakah kita pernah bertanya pada diri kita apabila kita membaca sesuatu penulisan, dari sudut apa ilmu pengetahuan yang ingin kita tambahkan ke dalam minda dan hati kita?

Kempen ‘Membaca amalan kita’, ‘Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya’ dan banyak lagi usaha yang cuba diketengahkan oleh kerajaan untuk memakmurkan amalan membaca dalam kalangan masyarakat di Malaysia masih belum pada tahap yang memberangsangkan. Sejujurnya, saya sangat menghargai usaha kerajaan untuk menggalakkan amalan membaca di Malaysia akan tetapi saya juga terkilan apabila usaha untuk mengasah minda masyarakat daripada menjauhkan diri daripada pembacaan yang merosakkan minda tidak dilontarkan. Hemat saya, kempen membaca sahaja tidak cukup jikalau bahan bacaan yang membantutkan intelektual yang sebenar semakin menular. Sebagai contoh, saya sangat mengkritik berkenaan buku-buku yang dikeluarkan oleh sesetengah syarikat penerbitan sama ada secara berdaftar yang disucikan dengan nombor siri ISBN atau tidak berdaftar.

Biasanya buku-buku yang diterbitkan oleh penerbitan ini sering kali disebut ‘indie’ atau ‘underground’. Buku bergenre sebegini kebanyakan penulisannya adalah bentuk puisi, cerpen, novel dan karya-karya sastera. Itulah ‘kekuatan’ penulisan mereka untuk menarik minat pembaca khususnya remaja dan belia yang sedang asyik dibuai keseronokan buaian duniawi. Untuk kritikan ini, saya ingin mengetengahkan penerbitan yang berdaftar dalam menghasilkan buku yang pada saya tidak mendatangkan minda intelektual yang tinggi. Sebagai contoh, penerbitan buku daripada dubook, terfaktab, lejen, merpati jingga, sindiket soljah dan sebagainya langsung tidak memberi makna yang mendalam dalam menginterpritasikan skema jawapan ‘menambah ilmu pengetahuan’ dalam pembacaan.

Hasil penulisan yang hanya sebuah khayalan, khayalan sehingga menyentuh soal aqidah dan keagamaan adalah sesuatu yang sungguh tidak relevan. Penggunaan kata-kata puitis yang mendekahkan golongan Islamis sungguh menjengkelkan bagi saya. Sebagai contoh, buku terbaharu yang dikeluarkan oleh dubook berjudul ‘Alif Lam Lam Ha’. Buku ini dimuatkan dengan beberapa kisah pendek atau cerpen ‘sastera’ yang kononnya cuba menghasilkan nilai ‘intelektual’ kepada pembaca. Salah satu cerpen yang dimuatkan di dalam buku ini adalah bertajuk, ‘Alif Lam Lam Ha. Ha ha ha’.

Apa yang cuba diselitkan di dalam cerita cerpen ini adalah bagaimana seseorang itu harus berfikir dalam kerangka pemikiran yang mudah tentang mempertahankan kalimah Allah. Penulis juga menyatakan tentang golongan Islamis yang terlalu mengeksklusifkan kalimah Allah sehingga menyebabkan pertelingkahan dan kerenggangan hubungan dengan masyarakat bangsa lain. Berdemonstrasi dan membuang masa berkumpul hanya kerana satu perkataan (Allah) sahaja. Pada mereka, hal tersebut sungguh melucukan. Apa yang cuba disampaikan oleh penulis di dalam cerpen tersebut menunjukkan bahawa Islam terlalu kolot dan tidak berminda terbuka. Walhal, Islam tidak akan bertolak ansur dengan puak-puak yang cuba mencabar kedaulatan Islam. Selain itu, banyak lagi cerpen lain yang dimuatkan di dalam buku tersebut yang rata-rata cuba mencetuskan persoalan demi persoalan ke dalam minda pembaca tentang pemikiran liberal.

Walau bagaimanapun, itu hanya satu contoh yang saya ketengahkan sebagai menyuntik minda pembaca tentang kekeliruan intelektual yang disalah tafsirkan. Apabila kita amati, golongan liberal yang cuba meragukan keyakinan aqidah umat Islam mulai menular. Apa yang menyedihkan, mereka kebanyakannya dalam kalangan ahli akademik yang mendalami ilmu agama. Apa yang dipelajari sedikit pun tidak diamalkan, bahkan memanipulasikan kedudukan mereka sebagai golongan yang berpengaruh untuk menelusuri minda masyarakat secara halus dengan ideologi liberal yang dianggap intelektual itu.

Oleh itu, minda intelektual bukanlah sesuatu yang mudah diinterpretasikan. Ia perlu benar-benar dinilai dengan tahap pemikiran yang ideal dan rasional. Lebih-lebih lagi berkaitan dengan soal agama bukan hanya rasional yang diperlukan tetapi keyakinan dan kepercayaan. Nasihat saya kepada penggemar buku ‘indie’, janganlah terlalu asyik membaca dan berkhayal dengan keseronokan yang dicoretkan di dalam buku itu tanpa mengetahui sebenarnya terdapat titik hitam yang akan mencengkam jiwa kalian.



Rujukan:
1)      www.utam.net
2)      Alif Lam Lam Ha. Kru Universiti Terbuka Anak Muda (UTAM)