Friday, January 11, 2013

“IBU DOAKAN AKU!”


Doom!
Bunyi dentuman itu mengejutkan lamunanku seketika. Terdapat sebuah kereta yang tayarnya meletup di hadapan rumahku. Aku tidak membantu, hanya mampu melihat beberapa orang jiranku menolong lelaki tersebut menggantikan tayar keretanya. Awan seperti berlari-lari di awangan langit dan aku masih di sini. Sering kali mengenang kenangan manis bersama ibu. “Rindu sungguh hati ini padamu ibu.” Bisik hatiku. Mungkin jiran-jiran merasa hairan kenapa aku gemar duduk di atas kerusi ini pada waktu petang kerana aku akan termenung dan melayan perasaanku. Kerusi ini ayahku buat khas untuk ibu. Ayah bukanlah seorang tukang kayu tapi ayah pandai menukang. Rumah yang kami huni ini juga dibuat oleh ayah sendiri. Setiap pagi ibu akan duduk di atas kerusi ini dan membaca al-Quran serta buku-buku agama. Dan aku akan membuka TV9 untuk menonton rancangan kegemaranku ‘Tanyalah Ustaz’. Sementara kakak dan abangku yang lain menyambung episod mimpinya selepas solat subuh.

Hanya kerusi ini menjadi kenanganku bersama ibu. Aku pernah bertanya pada ibu, “ mengapa ibu suka duduk di atas kerusi ini sedangkan ada banyak lagi sofa yang selesa diduduk?” Ibu menjawab, “ setiap pemberian suami itu wajib kita hargai.” Hatiku tersentuh dengan jawapan ibu. Ketika itu aku berumur 12 tahun, sudah tentu belum bersuami dan lambat lagi untuk aku berumah tangga akan tetapi aku menyimpan cita-cita untuk menjadi isteri yang baik persis seperti ibu.

Aku sangat rapat dengan ibu. Ke mana sahaja ibu melangkah pasti akan aku ekori. Ke pasar, ke bandar malah ke hospital juga aku ikut. Aku bukanlah jenis budak yang suka meminta macam-macam daripada ibu akan tetapi aku lebih gembira dapat menemani ibu ke sana dan ke mari. Sering kali ibu akan berpesan kepadaku, akan tetapi kali ini bunyi nasihat dan pesanan itu menyebabkan butiran mutiara air mataku mengalir. Pesan ibu, “ Fatimah, kalau ibu tiada nanti kamu mesti terus belajar bersungguh-sungguh ya. Doa ibu selalu mengiringi kamu. Ingat susah payah ayah mencari wang untuk keluarga kita.” Aku terasa aneh dengan nasihat dan pesanan itu tapi aku tidak mengendahkannya. 

Lazimnya kalau ibu ke hospital, pasti ibu akan menaiki bas atau teksi sendiri kerana ayah sering sibuk dengan perniagaannya. Aku tidak tahu mengapa ibu sering ke hospital. Kadang-kadang ibu tidak memberitahu ayah dia ingin ke hospital akan tetapi ibu hanya memberitahu ingin ke bandar membeli barang dapur. Ketika itu aku tidak memahami maksud ibu berbuat demikian. Hatiku berbisik sendirian, “adakah ibu berbohong pada ayah? Atau mungkin ibu mempunyai alasannya yang tersendiri.” Kakak dan juga abangku masing-masing sibuk dengan persediaan peperiksaan mereka. Aku sahaja yang masih tiada semangat untuk membuat persediaan peperiksaan UPSR. Ibu kata aku pemalas dan kerana itu juga ibu sering mengungkapkan harapannya padaku supaya aku bersemangat untuk belajar dan berjaya. Selepas mendengar nasihat dan pesanan ibu yang sudah berkali-kali diulang semangatku untuk belajar mulai terangsang.

6 bulan sebelum UPSR aku bertungkus-lumus menelaah pelajaran. Aku ingin membanggakan ibu dan ayah. Kakak dan abangku sudah melepasi peringkat ini dahulu dan keputusan mereka sangat membanggakan ibu dan ayah. Hampir setiap tahun di sekolah, mereka mendapat anugerah pelajar cemerlang dan aku juga mahu seperti itu. Semangatku semakin meruap untuk belajar dan kerana itu aku meminta supaya dimasukkan ke asrama untuk lebih fokus dalam pelajaran. Permintaanku sungguh berat diperkenankan oleh ibu. “ Fatimah nak masuk asrama? Ibu tahu anak ibu ni rajin dan pandai menguruskan diri tapi ibu risau kalau anak ibu tak ada depan mata ibu.” Aku menjawab, “ Ibu, Fatimah masuk asrama kan untuk dapatkan yang terbaik dalam UPSR. Fatimah nak banggakan ayah dan ibu. Lagipun dulu kakak dan abang masuk asrama juga, ibu tak pernah bantahpun keputusan mereka.” Aku tidak faham mengapa ibu agak berat mengizinkan aku untuk tinggal di asrama. Malam itu, aku tidak makan malam bersama keluarga seperti biasa. Aku terperap di dalam bilik dan menunjukkan protes terhadap ibu. Aku tahu perbuatan ini tidak elok akan tetapi entah kenapa hatiku sangat berkeras untuk masuk ke asrama. Surat keizinan untuk tinggal di asrama harus di tanda tangan oleh ayah dan ibu. Ayah sudah mengizinkan tapi ibu masih belum memberi kata putus. 

Keesokan harinya, setelah bersiap-siap untuk ke sekolah, aku melihat surat kebenaran tersebut berada di atas meja dan ibu telah pun menandatanganinya. Wajahku tampak gembira dan terus menuju ke arah ibu lalu memeluknya sambil berkata, “ Terima kasih ibu mengizinkan Fatimah tinggal di asrama. Insya-Allah Fatimah takkan menghampakan ibu.”  Ibu menjawab, “ Sama-sama anakku, belajarlah dan hargai segala peluang yang ada. Doa ibu sentiasa di sisimu.” Setiap kali ibu mendoakan pasti aku akan meng’amin’kan doa tersebut. Doa seorang ibu itu antara doa yang mustajab. Beberapa hari sebelum masuk ke asrama, ibu membantu aku mengemas pakaian dan menyediakan segala kelengkapan untuk tinggal di asrama. Ibu memastikan tiada satu benda pun yang tertinggal atau terkurang.

Hari ini adalah hari kemasukanku ke asrama. Ibu dan ayah sahaja yang menghantarku. Kakak dan abang tidak ikut sama kerana mereka mempunyai aktiviti lain berkaitan dengan bengkel motivasi di sekolah mereka. Jarak sekolah dan rumahku hanyalah 15 hingga ke 20 minit. Sebelum ini aku merasa tidaklah terlalu jauh. Akan tetapi kali ini terasa seperti jauh sekali. Wajah ibu tampak kurang ceria. Aku tahu mungkin ibu masih berat hati, tapi ini adalah keputusanku. Aku mesti teruskan. Oleh sebab jarak rumah dan sekolahku tidaklah terlalu jauh, ayah menghantarku agak lewat sedikit sekitar jam 5 petang dan waktu habis penghantaran pelajar adalah pada pukul 6 petang. 

Dalam keadaan yang singkat itu, ayah dan ibu segera menolong aku memasukkan barang-barang ke kawasan asrama. Sebelum pulang, ibu sempat berpesan. Sekali lagi pesanan yang amat menyentuh kalbuku. Pesan ibu, “ Jaga diri, jaga solat anakku dan jangan lupa membaca al-Quran. Ibu harap Fatimah dapat berdikari tinggal di asrama. Kalau ibu tiada nanti Fatimah kena terus belajar ya. Ibu doakan anak ibu berjaya.” Aku mulai sebak dan lidahku terkelu untuk berkata-kata. Ibu dan ayah beransur pulang dan bayangan kereta sama-samar kelihatan. Aku memerhatikan kereta ayah berlalu sehingga ke hujung anak mata. Tiba-tiba pengawal asrama menarik perhatianku dengan berkata, “ Adik, masuk ke asrama cepat. Sebentar lagi pak cik akan tutup pagar ini.” Aku memandang pengawal tersebut dengan mata yang terkebil-kebil sambil berkata, “ Baiklah pak cik.” Suaraku sayu. Entah kenapa hati terasa sangat pilu, mungkin ini pertama kalinya aku berjauhan dengan ayah dan ibu. Kakak dan abang sering mengejek aku seorang yang kuat merajuk dan kuat menangis. Kadang-kadang aku cuba kuatkan hati untuk tidak menangis akan tetapi anak bongsu memang begini. Manja.

Masa berlalu, sehari demi sehari. Seminggu demi seminggu. Aku gembira tinggal di asrama. Kawan-kawan ramai dan semuanya baik-baik belaka. Ibu dan ayah melawatku pada setiap hujung minggu. Setiap kali ayah dan ibu datang melawat pasti mereka akan membawa makanan kegemaranku. Kakak dan abang tidak turut serta kerana mereka juga tinggal di asrama. Masing-masing sudah tingkatan empat dan lima.

Pada suatu hari, aku menunggu kedatangan ayah dan ibu yang pasti akan datang melawatku setiap minggu. Akan tetapi kali ini mereka tidak kelihatan. Bahkan kelibat kereta ayah juga tidak aku nampak. Hati ini terdetik, “Kenapa ayah dan ibu tak datang?...




Bersambung... 

1 comment: