Monday, October 28, 2013

Hati, Tarbiyah dan Dakwah

Duhai hati,
alangkah sunyi tanpa Dia,
alangkah punah tiada Dia,
alangkah binasa juga tanpa Dia.

Duhai hati,
benarkah ada bahagia,
benarkah ada gembira,
tanpa Dia yang mencipta?

Duhai hati,
bila senang, kau lupa Dia,
bila suka, kau tinggalkan Dia,
bila duka, kau cari Dia,
adakah itu sifat yang sebenarnya?

Tarbiyah itu,
suatu entiti,
bukan fantasi,
tapi realiti.

Tarbiyah itu,
perlu dicari,
perlu diamati,
dan perlu dihargai.

Dakwah itu,
sambungan tugas para nabi,
memperjuang agama yang hakiki,
Onak dan liku tiada henti,
balasan syurga sedia menanti.

Wahai ikhwah dan akhawat,
jika kau bergelar pendakwah,
gegarkan hujah,
tegakkan wasilah,
dan jadilah pemimpin ummah.







Wednesday, April 10, 2013

"Smartphone"

"Eh, aku rasa nak beli HP baru la, apa pendapat kau?" ujar Adam kepada Ahmad. "Bukan HP kau tu, elok lagi ke, kenapa nak beli HP baru pula?" balas Ahmad yang agak terkejut dengan pertanyaan itu. "Relaxla bro, HP ni dah 3 tahun aku pakai lagipun aku macam teringin nak pakai "smartphone" lah." jawab Adam yang sedang menjelaskan maksud pertanyaannya. "Aku tak kisah kau nak beli atau pakai HP baru yang penting kau ada duit. Tapi aku nasihatkan,kau gunalah "smartphone" tu ke arah kebaikan ye." ujar Ahmad yang cuba menggamitkan perasaan sahabatnya itu. "Okey, aku taulah bro. terima kasih sokong aku, nanti temankan aku pergi beli ye". balas Adam dengan hati yang gembira.

(Cerita di atas adalah rekaan semata-mata, tiada kena mengena dengan yang hidup ataupun yang telah meninggal dunia.)

Walau bagaimanapun, itulah realitinya. Manusia tidak pernah puas dengan kehendak hatinya. Kadang kala mudah cemburu dengan merasa tidak cukup apa yang telah dia miliki. Pertanyaan saya, adakah itu salah??

Salah kalau hanya berlandaskan nafsu, tetapi baik sekiranya kena pada tempatnya.

Apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah, tips memanfaatkan "smartphone" yang kita miliki. Saya yakin, ramai yang mempunyai "smartphone". Dengan berbekalkan pelbagai aplikasi yang mudah diinstalasi, pasti ramai yang teruja menggunakannya. Betul tak?

Tetapi adakah "smartphone" ini hanya bertujuan untuk berseronok dengan kawan-kawan semata?atau sekadar mudah berkongsi cerita di laman sosial dengan kemudahan wifi? atau bercakap dan menghantar pesanan melalui "whats App", "wechat" dan sebagainya.

Jawapan saya, lebih daripada itu.

Sebelum membuat keputusan membeli sesuatu yang dianggap bukan perkara keperluan, kita perlu memasang niat yang betul. Berniat supaya apa yang akan Allah kurniakan untuk kita itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Sebagai contoh, membeli "smartphone", bukan perkara keperluan akan tetapi dengan memasang niat yang betul InsyaAllah akan memberikan impak positif kepada diri kita. Tidak semua orang mampu membeli dan menggunakan "smartphone", oleh itu memanfaatkannya adalah sesuatu yang sangat murni.

Bila dah beli "smartphone", perkara utama yang kita perlu dan wajib buat ialah membuat instalasi Quran digital. Bila dah ada Quran dalam HP, kita akan sentiasa rasa bahawa Quran dekat di hati kita, bukan hanya HP semata yang dibawa ke hulu dan ke hilir. Sekurang-kurangnya ada pahala di situ. Kedua, perkara yang kita perlu jadikan aplikasi adalah Ma'thurat. Ma'thurat merupakan doa-doa pilihan yang perlu diamalkan untuk kesejahteraan kehidupan harian kita. Ma'thurat ini adalah doa-doa yang dikumpulkan oleh Al-Shahid Imam Hassan al-Banna berdasarkan hadis dan amalan Nabi s.a.w. Apabila ma'thurat telah diinstalasi, perasaan untuk membaca dan mengamalkan doa-doa itu pasti akan lahir kerana ada sesuatu yang boleh kita lihat apabila kita berada dalam keadaan yang bosan atau keseorangan (walau bagaimanapun, amalan tetap perkara utama). Seterusnya, perkara lain yang mesti ada dalam aplikasi "smartphone" kita ialah Hadis Arbain (40 Imam Nawawi). Hadis arbain antara hadis pilihan yang paling ma'thur atau terkenal. Hadis ini dihimpunkan oleh Imam Nawawi berdasarkan keutamaan kita sebagai seorang muslim. Ia penting kerana Hadis merupakan sumber yang wajib diikuti selepas Al-Quran. Walau bagaimanapun, sekiranya ingin membuat instalasi doa-doa harian dan sebagainya adalah sangat digalakkan bagi kesejahteraan hidup kita sebagai seorang Muslim.

Setakat ini, itu saja yang dapat saya kongsikan. Apa yang saya cadangkan di sini adalah perkara utama yang perlu kita buat apabila kita mula membuat instalasi melalui android. Kemudian terpulang kepada kita, untuk memuat turun aplikasi-aplikasi lain yang dapat membantu kita ke arah kebaikan.

Kepada adik-adik di bawah umur yang menggunakan "smartphone", akak harap penggunaan "smartphone" itu tidak menyebabkan adik-adik terpalit kepada perkara maksiat dan kemungkaran. Mula setiap hari dengan perkara yang Allah redha. InsyaAllah hidup kita pasti akan diberkati.


Sekian, WALLAHU A'LAM.

Tuesday, April 2, 2013

Bismillahi Rabbil Ghulam

Bismillahirrahmanirrahim...

Salam alaikum ila asdiqoie!!

Semoga kalian berada di bawah cahaya perlindunganNya. Amiin.

Hari ni baru dapat nak update blog. Selama ni tak lah sibuk sangat tapi almaklumlah tengah Latihan Industri so nak update tu memang tak sempat.

Untuk entri kali ni saya nak cerita tentang kisah Hadis Ghulam. Korang pernah dengar tak?? Kalau siapa-siapa yang belajar hadis atau tafsir tu mungkin pernah dengar la kan. Hadis ni panjang sangat. Nak letak kt sini macam sempit je kan, jadi saya cerita serba ringkas jela ye.

Siapa tahu tentang Ashabul Ukhdud??

Ha, hadis ghulam ni memang ada kaitan pun dengan Ashabul ukhdud. Kira kalau korang baca quran, surah al-Buruj, ayat 4-6 korang akan jumpa perkataan Ashabul ukhdud. Untuk lebih mudah faham, hadis ghulam ni adalah sebab nuzul (turun) ayat surah al-Buruj nilah. Ok faham kan?

Ni belum masuk cerita hadis ghulam lagi ni, baru intro. Tak bestlah kalau entri yang dah lama tak update, tak ada intro yang panjang kan.

hmm macam mana nak start cerita pasal hadis ghulam ni ek. Tak pelah saya letak link kat sini, korang download ea. Senang sikit tak payah copy paste.

http://azkamiru.files.wordpress.com/2010/01/ukhdud.pdf

Selamat membaca dan semoga ia dapat menambahkan ilmu kita.

Semoga Allah redha. Amiin..


Thursday, March 28, 2013

AKHIR ZAMAN, PILIHAN KITA: AGAMA ATAU DUNIA?

AKU MENDENGAR...

AKU MELIHAT...

AKU MEMERHATI...

SEDIH!

SEDIH MELIHAT DUNIA UMMAT ISLAM HARI INI,
MEREKA TERHANTUK, TAPI
MEREKA MASIH BELUM TENGADAH...

COUPLE?
berleluasa...

BUANG ANAK?
hari-hari...

HIBURAN MELAMPAU?
setiap masa...

BESARNYA KUASA BARAT! YAHUDI!
MEROSAKKAN BANGSA KITA...
APAKAH KITA SEDAR DISEKELILING KITA,
ADA YANG BERMATIAN UNTUK MENGHANCURKAN KITA?

SEDANGKAN KITA,
APA YANG KITA LAKUKAN?!
TIDUR?
BERDENGKUR?
BERMANIFESTO?
ATAU MENCARI DAN TERUS MENCARI JALAN UNTUK MENEROBOS ANCAMAN INI?

LIBERALISME?

PLURALISME?

SEKULARISME?

LGBT?

APA SEMUA NI???!

"ahh! tak tahulah..Aku tak belajar falsafah, aku bukan ambil syariah...
cukuplah aku study pasal subjek aku je..buang masa je semua ni.."

"tak pe, bukan adik-beradik aku yang pregnant. biarlah orang lain. masing-masing ada kehendak. aku tak couple, biarlah orang lain couple, nanti orang kata tak laku pulak. orang muda, generasi y memanglah suka hiburan. tak syoklah hidup tak ada hiburan."

INI KE YANG KITA UNGKAPKAN?
BILA NEGARA TERGADAI, AGAMA DI LEMPAR DAN MARUAH DIPIJAK-PIJAK, APA PULA UCAPAN KITA NANTI?

ILMU YANG KITA PELAJARI BUKAN SATU, DUA ATAU TIGA...
BUKAN TERHAD PADA JAM KREDIT YANG DIAMBIL...
BUKAN HANYA DI BILIK KULIAH...
DAN GOOGLE YANG HARI-HARI DILAWATI BUKAN HANYA UNTUK ELEMEN YANG ADA DI MINDA KITA TAPI PERLULAH DI MASUKKAN ELEMEN DI LUAR KOTAK PEMIKIRAN KITA...

ILMU PERLU DICARI MELALUI PELBAGAI CARA...
APA YANG DIBACA ITULAH ILMU...
APA YANG DITULIS ITULAH ILMU...
DAN APA YANG DIDENGAR ITULAH ILMU...
TUGAS KITA 'SAVE' APA YANG TELAH DIDENGAR DAN DIBACA...
KEMUDIAN MENULIS DENGAN KATA HATI...

MUDAH-MUDAHAN ALLAH REDHA...AMIIN..

WALLAHU A'LAM...

Thursday, February 28, 2013

Perlu ke jadi baik?

                                           Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum pembuka bicara kepada para sahabat semua. Alhamdulillah thumma alhamdulillah. Syukur kehadrat Allah s.w.t kerana masih mengurniakan nikmat Islam, iman dan kesihatan yang baik kepada kita. Bayangkan sekiranya Allah menarik nikmat kesihatan kita, MasyaAllah susahnya untuk kita melakukan ibadah, bekerja dan aktiviti harian yang lain. Baiknya Allah pada kita. Saat kita leka dan melupakanNya, Dia masih istiqamah mengurniakan nikmat pada hambaNya tapi sejauhmana kesyukuran yang kita panjatkan? Renung-renungkanlah.. Firman Allah mafhumnya: " sekiranya kamu bersyukur nescaya Aku tambah nikmat kepadamu dan sekiranya kamu kufur, sesungguhnya azabKu amat pedih."


         Tajuk entri pada kali ini, saya petik daripada sebuah program yang dianjurkan oleh PEMBINA di UKM  bersempena pembukaan semester baru sesi ini. Program yang diberi nama 'Jom Bina Hati' (JBH) untuk pelajar muslimah di UKM. Sebelum ini, sudah beberapa kali saya join program JBH tapi kali ini berbeza sedikit. JBH pada malam tu sungguh meriah dengan kehadiran adik-adik yang berlumba-lumba nak jadi baik. Alhamdulillah, sememangnya Allah menciptakan manusia itu fitrahnya kepada kebaikan. Walau sejahat atau sedajal mana seseorang tu pasti di sudut hati kecilnya suka pada kebaikan. 


       JBH pada malam tu start agak lewat disebabkan masalah yang tak dapat dielakkan. Sesungguhnya manusia hanya merancang dan Allahlah sebaik-baik perancang dan penentu segala kejadian yang berlaku. Ukhti Zatil Ilyani telah di jemput untuk menyampaikan pengisian. Menarik! Sangat menarik! 
Saya nak kongsikan beberapa poin yang saya ambil daripada Ukhti Zatil. Banyak sangat sebenarnya isi yang diberi tapi ini antara poin yang menyentuh hati saya.

        Perlunya jadi baik, kenapa? 

Sebab-sebabnya ialah Allah telah menggariskan dua jalan kepada manusia. Pertama jalan ketaqwaan dan kedua jalan kefasikan@kejahatan. Firman Allah dalam Surah as-Syams ayat 8-10, mafhumnya, "maka, Kami mengilhamkan kepada manusia jalan kefasikkan dan ketaqwaan. Maka beruntunglah siapa yang membersihkannya (jiwa). Dan rugilah kepada siapa yang mengotorinya (dengan perbuatan maksiat)."

Manusia yang normal, mereka akan memilih jalan ketaqwaan. Walhal golongan yang tidak beriman mereka juga memilih kebaikan. Kita buat amal jariah, mereka juga beramal jariah. Akan tetapi adakah amalan mereka diterima? Walau sebanyak mana amal jariah yang mereka lakukan, sebesar zarah pun tidak akan diterima oleh Allah. Jalan ketaqwaan yang dimaksudkan adalah berbeza dengan jalan kebaikan yang biasa dilalui oleh semua manusia. Jalan ketaqwaan khas untuk ummat Islam sahaja. Private place. Special from Allah. 

Taqwa itu ertinya takut dan taat. Orang yang beriman tak semestinya bertaqwa. Manakala orang yang bertaqwa semestinya dia beriman dengan sebenar-benar iman. Masalah ummat hari ini berlaku dan berleluasa disebabkan runtuhnya nilai taqwa dalam hati ummat Islam. Kita lihat secara zahirnya mereka adalah Islam tapi adakah cukup dengan bergelar Islam tanpa melakukan amalan-amalan yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Malunya melihat ummat Islam merompak, berjudi, berzina, buang anak, Nabi pernah ajar ke ummat Islam buat semua tu?!

Cukup ke jadi baik sorang-sorang?

Ibadah...Khalifah...apa maksudnya ni?

Dua tugas penting kepada manusia yang Allah ciptakan. Eh Allah cipta kita bukan sia-sia tau! Bila kita bertaqwa, kita pasti akan melakukan ibadah. Tidak kira urusan apa yang dilakukan pasti diniatkan kerana Allah. Bila dah bertaqwa sekaligus tugas khalifah itu wajib dilakukan iaitu menjaga keharmonian dan keamanan bumi. Semua kena jaga, pokok kena jaga, haiwan kena jaga, manusia pun kita kena jaga. Tak semua manusia berilmu. Ilmu manusia terbatas dan terhad. Ada orang pakar bidang astronomi, sains, dan macam-macam lagi. Tapi ada satu ilmu yang wajib semua orang tahu dan belajar iaitu ilmu tentang agama, agama Islam yang mulia.

      Apa yang kita belajar, kita sampaikan. Pesan Nabi, "sampaikanlah walaupun satu ayat". So, dah ada ilmu kongsi dengan orang lain. Orang lain pulak, kongsi dengan kawan-kawan dia yang lain. Wow! ilmu kita berkembang dan pahala kita pun berterusan. Macam MLM juga lah. Orang lain buat MLM untuk dapat downline dan menjana duit, kita pula buat MLM untuk menjana pendapatan kat akhirat. MasyaAllah. Saya selalu ingat kata-kata Saidina Ali r.a, beliau berpesan, "ilmu akan menjaga kita sebaliknya harta,kita yang perlu menjaganya."

Apa langkah utama untuk jadi baik?

Niat yang ikhlas, istiqamah dan bergaul dengan orang yang solehah. Itu je kuncinya. Kawan kita umpama cermin diri kita. So, bila kita di kelilingi kawan yang baik-baik dan solehah maksudnya orang pun akan pandang kita baik juga. Apa yang lebih penting Allah pandang dan kasihkan kita.

Amacam dah sedia jadi baik? Nak tak jadi baik? Tepuk dada tanya iman.

InsyaAllah jumpa pada entri seterusnya. 





















Friday, January 11, 2013

“IBU DOAKAN AKU!”


Doom!
Bunyi dentuman itu mengejutkan lamunanku seketika. Terdapat sebuah kereta yang tayarnya meletup di hadapan rumahku. Aku tidak membantu, hanya mampu melihat beberapa orang jiranku menolong lelaki tersebut menggantikan tayar keretanya. Awan seperti berlari-lari di awangan langit dan aku masih di sini. Sering kali mengenang kenangan manis bersama ibu. “Rindu sungguh hati ini padamu ibu.” Bisik hatiku. Mungkin jiran-jiran merasa hairan kenapa aku gemar duduk di atas kerusi ini pada waktu petang kerana aku akan termenung dan melayan perasaanku. Kerusi ini ayahku buat khas untuk ibu. Ayah bukanlah seorang tukang kayu tapi ayah pandai menukang. Rumah yang kami huni ini juga dibuat oleh ayah sendiri. Setiap pagi ibu akan duduk di atas kerusi ini dan membaca al-Quran serta buku-buku agama. Dan aku akan membuka TV9 untuk menonton rancangan kegemaranku ‘Tanyalah Ustaz’. Sementara kakak dan abangku yang lain menyambung episod mimpinya selepas solat subuh.

Hanya kerusi ini menjadi kenanganku bersama ibu. Aku pernah bertanya pada ibu, “ mengapa ibu suka duduk di atas kerusi ini sedangkan ada banyak lagi sofa yang selesa diduduk?” Ibu menjawab, “ setiap pemberian suami itu wajib kita hargai.” Hatiku tersentuh dengan jawapan ibu. Ketika itu aku berumur 12 tahun, sudah tentu belum bersuami dan lambat lagi untuk aku berumah tangga akan tetapi aku menyimpan cita-cita untuk menjadi isteri yang baik persis seperti ibu.

Aku sangat rapat dengan ibu. Ke mana sahaja ibu melangkah pasti akan aku ekori. Ke pasar, ke bandar malah ke hospital juga aku ikut. Aku bukanlah jenis budak yang suka meminta macam-macam daripada ibu akan tetapi aku lebih gembira dapat menemani ibu ke sana dan ke mari. Sering kali ibu akan berpesan kepadaku, akan tetapi kali ini bunyi nasihat dan pesanan itu menyebabkan butiran mutiara air mataku mengalir. Pesan ibu, “ Fatimah, kalau ibu tiada nanti kamu mesti terus belajar bersungguh-sungguh ya. Doa ibu selalu mengiringi kamu. Ingat susah payah ayah mencari wang untuk keluarga kita.” Aku terasa aneh dengan nasihat dan pesanan itu tapi aku tidak mengendahkannya. 

Lazimnya kalau ibu ke hospital, pasti ibu akan menaiki bas atau teksi sendiri kerana ayah sering sibuk dengan perniagaannya. Aku tidak tahu mengapa ibu sering ke hospital. Kadang-kadang ibu tidak memberitahu ayah dia ingin ke hospital akan tetapi ibu hanya memberitahu ingin ke bandar membeli barang dapur. Ketika itu aku tidak memahami maksud ibu berbuat demikian. Hatiku berbisik sendirian, “adakah ibu berbohong pada ayah? Atau mungkin ibu mempunyai alasannya yang tersendiri.” Kakak dan juga abangku masing-masing sibuk dengan persediaan peperiksaan mereka. Aku sahaja yang masih tiada semangat untuk membuat persediaan peperiksaan UPSR. Ibu kata aku pemalas dan kerana itu juga ibu sering mengungkapkan harapannya padaku supaya aku bersemangat untuk belajar dan berjaya. Selepas mendengar nasihat dan pesanan ibu yang sudah berkali-kali diulang semangatku untuk belajar mulai terangsang.

6 bulan sebelum UPSR aku bertungkus-lumus menelaah pelajaran. Aku ingin membanggakan ibu dan ayah. Kakak dan abangku sudah melepasi peringkat ini dahulu dan keputusan mereka sangat membanggakan ibu dan ayah. Hampir setiap tahun di sekolah, mereka mendapat anugerah pelajar cemerlang dan aku juga mahu seperti itu. Semangatku semakin meruap untuk belajar dan kerana itu aku meminta supaya dimasukkan ke asrama untuk lebih fokus dalam pelajaran. Permintaanku sungguh berat diperkenankan oleh ibu. “ Fatimah nak masuk asrama? Ibu tahu anak ibu ni rajin dan pandai menguruskan diri tapi ibu risau kalau anak ibu tak ada depan mata ibu.” Aku menjawab, “ Ibu, Fatimah masuk asrama kan untuk dapatkan yang terbaik dalam UPSR. Fatimah nak banggakan ayah dan ibu. Lagipun dulu kakak dan abang masuk asrama juga, ibu tak pernah bantahpun keputusan mereka.” Aku tidak faham mengapa ibu agak berat mengizinkan aku untuk tinggal di asrama. Malam itu, aku tidak makan malam bersama keluarga seperti biasa. Aku terperap di dalam bilik dan menunjukkan protes terhadap ibu. Aku tahu perbuatan ini tidak elok akan tetapi entah kenapa hatiku sangat berkeras untuk masuk ke asrama. Surat keizinan untuk tinggal di asrama harus di tanda tangan oleh ayah dan ibu. Ayah sudah mengizinkan tapi ibu masih belum memberi kata putus. 

Keesokan harinya, setelah bersiap-siap untuk ke sekolah, aku melihat surat kebenaran tersebut berada di atas meja dan ibu telah pun menandatanganinya. Wajahku tampak gembira dan terus menuju ke arah ibu lalu memeluknya sambil berkata, “ Terima kasih ibu mengizinkan Fatimah tinggal di asrama. Insya-Allah Fatimah takkan menghampakan ibu.”  Ibu menjawab, “ Sama-sama anakku, belajarlah dan hargai segala peluang yang ada. Doa ibu sentiasa di sisimu.” Setiap kali ibu mendoakan pasti aku akan meng’amin’kan doa tersebut. Doa seorang ibu itu antara doa yang mustajab. Beberapa hari sebelum masuk ke asrama, ibu membantu aku mengemas pakaian dan menyediakan segala kelengkapan untuk tinggal di asrama. Ibu memastikan tiada satu benda pun yang tertinggal atau terkurang.

Hari ini adalah hari kemasukanku ke asrama. Ibu dan ayah sahaja yang menghantarku. Kakak dan abang tidak ikut sama kerana mereka mempunyai aktiviti lain berkaitan dengan bengkel motivasi di sekolah mereka. Jarak sekolah dan rumahku hanyalah 15 hingga ke 20 minit. Sebelum ini aku merasa tidaklah terlalu jauh. Akan tetapi kali ini terasa seperti jauh sekali. Wajah ibu tampak kurang ceria. Aku tahu mungkin ibu masih berat hati, tapi ini adalah keputusanku. Aku mesti teruskan. Oleh sebab jarak rumah dan sekolahku tidaklah terlalu jauh, ayah menghantarku agak lewat sedikit sekitar jam 5 petang dan waktu habis penghantaran pelajar adalah pada pukul 6 petang. 

Dalam keadaan yang singkat itu, ayah dan ibu segera menolong aku memasukkan barang-barang ke kawasan asrama. Sebelum pulang, ibu sempat berpesan. Sekali lagi pesanan yang amat menyentuh kalbuku. Pesan ibu, “ Jaga diri, jaga solat anakku dan jangan lupa membaca al-Quran. Ibu harap Fatimah dapat berdikari tinggal di asrama. Kalau ibu tiada nanti Fatimah kena terus belajar ya. Ibu doakan anak ibu berjaya.” Aku mulai sebak dan lidahku terkelu untuk berkata-kata. Ibu dan ayah beransur pulang dan bayangan kereta sama-samar kelihatan. Aku memerhatikan kereta ayah berlalu sehingga ke hujung anak mata. Tiba-tiba pengawal asrama menarik perhatianku dengan berkata, “ Adik, masuk ke asrama cepat. Sebentar lagi pak cik akan tutup pagar ini.” Aku memandang pengawal tersebut dengan mata yang terkebil-kebil sambil berkata, “ Baiklah pak cik.” Suaraku sayu. Entah kenapa hati terasa sangat pilu, mungkin ini pertama kalinya aku berjauhan dengan ayah dan ibu. Kakak dan abang sering mengejek aku seorang yang kuat merajuk dan kuat menangis. Kadang-kadang aku cuba kuatkan hati untuk tidak menangis akan tetapi anak bongsu memang begini. Manja.

Masa berlalu, sehari demi sehari. Seminggu demi seminggu. Aku gembira tinggal di asrama. Kawan-kawan ramai dan semuanya baik-baik belaka. Ibu dan ayah melawatku pada setiap hujung minggu. Setiap kali ayah dan ibu datang melawat pasti mereka akan membawa makanan kegemaranku. Kakak dan abang tidak turut serta kerana mereka juga tinggal di asrama. Masing-masing sudah tingkatan empat dan lima.

Pada suatu hari, aku menunggu kedatangan ayah dan ibu yang pasti akan datang melawatku setiap minggu. Akan tetapi kali ini mereka tidak kelihatan. Bahkan kelibat kereta ayah juga tidak aku nampak. Hati ini terdetik, “Kenapa ayah dan ibu tak datang?...




Bersambung... 

Bulatan Pengecas Iman dan Taqwa

Manusia sering alpa,
Manusia juga bersifat tergesa-gesa,
Hanya Allah sahaja yang tahu kejadiannya,
Dan kepada Allah juga kita akan berjumpa.

Salam Ukhuwah,
dan sebaik-baik salam adalah
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Terasa kaku jari-jemari ini, mungkin sudah lama tidak mengukirkan tulisan kepada para sahabat. Diharap sahabat semua berada di bawah perlindunganNya.

Untuk kali ini saya ingin berkongsi tentang suatu perkara yang akan membuatkan kita rasa manisnya taqarrub ilallah, indahnya jihad fi sabilillah dan basahnya ukhuwah fillah.

Ayat-ayat ini sering diungkapkan akan tetapi di mana akan kita rasai kelazatan dan kemanisan itu? Dapatkah dengan beribadat sahaja? Bagi golongan yang bekerja siang dan malamnya untuk beristirehat semata-mata tidak akan tahu di mana halwa ini boleh didapati. Carilah aktiviti lain yang menjadikan kita lebih mulia dari orang lain dan bermanfaat untuk Islam.
Apa yang ingin saya kongsikan di sini adalah berkenaan dengan bulatan gembira atau dalam istilah saya bulatan pengecas iman dan taqwa. Nama popularnya adalah Usrah atau Halaqah.

Sahabat sahabiah semua,
Dalam mengenal dunia Usrah ini, janganlah kita menjadi seorang yang tergesa-gesa. Janganlah terlalu cepat mengalah dan mengundur. Pada entri saya sebelum ini, ada saya menceritakan tentang pengalaman pertama saya berusrah. Hati gelisah kerana tidak tahu hala tuju Usrah. Gelisah kerana melihat Usrah dari skop yang sungguh sempit dan cetek. Walau dipaksa berkali-kali hati tetap mengatakan tidak mahu. Akan tetapi apabila ketenangan dan hidayah itu Allah kurniakan, tiada satupun yang dapat menghalang.

Perkara pertama yang ditekankan dalam mengenali dunia Usrah ini adalah niat. Bagaimana peranan niat itu amat besar dalam diri setiap manusia apatah lagi manusia yang bergelar mukmin dan mukminah. Hadis pertama di dalam buku himpunan Hadis 40 oleh Imam Nawawi mengatakan tentang niat. "Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat, dan setiap orang hanya akan memperoleh apa yang diniatkan." Allahu Rabbi kasihnya Allah pada kita, andai niat dihati melakukan kebaikan pasti diberi ganjaran akan tetapi sekiranya hati berniat kepada kejahatan dan tidak melakukannya, maka kejahatan itu tidak akan dihisab. Berniatlah untuk perbaiki diri dan cuba mengajak orang kepada kebaikan.

Ada seorang sahabat bertanya, apa yang ada dalam Usrah?

Usrah itu luas skopnya. Ia merangkumi pelbagai intipati sebagai seorang Muslim yang beragenda dan bermatlamat. Usrah yang terdiri daripada mutarabbi (ahli) dan murabbi (ketua) adalah satu wadah di mana kita berada pada landasan yang mendekatkan kita pada Allah. Pelbagai ilmu yang dikongsikan dalam Usrah. Aspek aqidah, fiqah, hadis, tafsir dan sebagainya menjadikan diri mutarabbi itu lebih faham tentang peranan seorang Muslim dan memahami erti Islam sebenar serta dapat mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Usrah adalah wadah pengecas iman. Usrah bukan hanya untuk orang baik-baik akan tetapi ia untuk orang yang ingin menjadi baik. Ia juga sebagai platform untuk mengecas iman yang lemah. Sebagai analogi, iman kita umpama bateri telefon, sekiranya selama satu bulan bateri tidak dicas adakah masih boleh berfungsi telefon kita itu? Walhal iman lebih sensitif. Manusia mempunyai nafsu yang sentiasa menjadi penghalang kepada ketahanan iman. Tiada manusia dimuka bumi ini yang ampuh imannya dan tidak pernah kalah kepada nafsu. Mustahil sekiranya ada. Oleh itu, bagi membantu ketahanan iman yang sering rapuh, Usrah antara wadah yang terbaik sebagai paltform untuk merawatnya.

Ada juga sahabat bertanya, perlukah Usrah yang kita sertai bernaung di bawah mana-mana Jemaah?

Jawapan saya perlu. Sangat perlu sebagai penguat kepada kenyataan yang dibawa. Hari ini, manusia bukan seperti umat zaman Nabi Muhammad yang tidak tahu tentang Islam. Mereka jelas dilihat menyembah berhala dan mengamalkan adat istiadat nenek moyang mereka. Akan tetapi, umat akhir zaman ini lebih hebat pemikiranya. Bermacam ilmu yang dipelajari sehingga menjadikan diri mereka terpesong ke sana sini. Mustahil untuk mereka tidak tahu tentang Islam itu agama Allah. Oleh itu, disebabkan kekurangan ilmu tentang Islam dan tidak mengenali al-Khaliq, berlakulah kemaksiatan ajaran sesat yang menular. Apa yang lebih menyedihkan, orang yang bijak pandai dan Alim juga terlibat dalam kemaksiatan ini. Nauzubillahi min zalik!

Maaf mungkin berat untuk dijelaskan soal Jemaah dalam entri ini akan tetapi cukuplah sekadar kita tahu apa yang kita pelajari dan untuk apa kita mempelajarinya. Selagimana ianya tidak terkeluar dari landasan hukum syarak maka bulatan pengecas iman itu tetap dapat dilaksanakan. Point penting, bertanyalah dengan orang yang lebih tahu dan jangan sesekali memasukkan diri kita ke dalam jurang yang membahayakan iman. Andai was-was, berdoalah semoga diberi petunjuk dan hidayah untuk kembali semula kepada jalan yang sebenar.

Wallahu A'lam.

Diharap sahabat dan sahabiah semua menantikan entri saya seterusnya...