Manusia sering alpa,
Manusia juga bersifat tergesa-gesa,
Hanya Allah sahaja yang tahu kejadiannya,
Dan kepada Allah juga kita akan berjumpa.
Salam Ukhuwah,
dan sebaik-baik salam adalah
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terasa kaku jari-jemari ini, mungkin sudah lama tidak mengukirkan tulisan kepada para sahabat. Diharap sahabat semua berada di bawah perlindunganNya.
Untuk kali ini saya ingin berkongsi tentang suatu perkara yang akan membuatkan kita rasa manisnya taqarrub ilallah, indahnya jihad fi sabilillah dan basahnya ukhuwah fillah.
Ayat-ayat ini sering diungkapkan akan tetapi di mana akan kita rasai kelazatan dan kemanisan itu? Dapatkah dengan beribadat sahaja? Bagi golongan yang bekerja siang dan malamnya untuk beristirehat semata-mata tidak akan tahu di mana halwa ini boleh didapati. Carilah aktiviti lain yang menjadikan kita lebih mulia dari orang lain dan bermanfaat untuk Islam.
Apa yang ingin saya kongsikan di sini adalah berkenaan dengan bulatan gembira atau dalam istilah saya bulatan pengecas iman dan taqwa. Nama popularnya adalah Usrah atau Halaqah.
Sahabat sahabiah semua,
Dalam mengenal dunia Usrah ini, janganlah kita menjadi seorang yang tergesa-gesa. Janganlah terlalu cepat mengalah dan mengundur. Pada entri saya sebelum ini, ada saya menceritakan tentang pengalaman pertama saya berusrah. Hati gelisah kerana tidak tahu hala tuju Usrah. Gelisah kerana melihat Usrah dari skop yang sungguh sempit dan cetek. Walau dipaksa berkali-kali hati tetap mengatakan tidak mahu. Akan tetapi apabila ketenangan dan hidayah itu Allah kurniakan, tiada satupun yang dapat menghalang.
Perkara pertama yang ditekankan dalam mengenali dunia Usrah ini adalah niat. Bagaimana peranan niat itu amat besar dalam diri setiap manusia apatah lagi manusia yang bergelar mukmin dan mukminah. Hadis pertama di dalam buku himpunan Hadis 40 oleh Imam Nawawi mengatakan tentang niat. "Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat, dan setiap orang hanya akan memperoleh apa yang diniatkan." Allahu Rabbi kasihnya Allah pada kita, andai niat dihati melakukan kebaikan pasti diberi ganjaran akan tetapi sekiranya hati berniat kepada kejahatan dan tidak melakukannya, maka kejahatan itu tidak akan dihisab. Berniatlah untuk perbaiki diri dan cuba mengajak orang kepada kebaikan.
Ada seorang sahabat bertanya, apa yang ada dalam Usrah?
Usrah itu luas skopnya. Ia merangkumi pelbagai intipati sebagai seorang Muslim yang beragenda dan bermatlamat. Usrah yang terdiri daripada mutarabbi (ahli) dan murabbi (ketua) adalah satu wadah di mana kita berada pada landasan yang mendekatkan kita pada Allah. Pelbagai ilmu yang dikongsikan dalam Usrah. Aspek aqidah, fiqah, hadis, tafsir dan sebagainya menjadikan diri mutarabbi itu lebih faham tentang peranan seorang Muslim dan memahami erti Islam sebenar serta dapat mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
Usrah adalah wadah pengecas iman. Usrah bukan hanya untuk orang baik-baik akan tetapi ia untuk orang yang ingin menjadi baik. Ia juga sebagai platform untuk mengecas iman yang lemah. Sebagai analogi, iman kita umpama bateri telefon, sekiranya selama satu bulan bateri tidak dicas adakah masih boleh berfungsi telefon kita itu? Walhal iman lebih sensitif. Manusia mempunyai nafsu yang sentiasa menjadi penghalang kepada ketahanan iman. Tiada manusia dimuka bumi ini yang ampuh imannya dan tidak pernah kalah kepada nafsu. Mustahil sekiranya ada. Oleh itu, bagi membantu ketahanan iman yang sering rapuh, Usrah antara wadah yang terbaik sebagai paltform untuk merawatnya.
Ada juga sahabat bertanya, perlukah Usrah yang kita sertai bernaung di bawah mana-mana Jemaah?
Jawapan saya perlu. Sangat perlu sebagai penguat kepada kenyataan yang dibawa. Hari ini, manusia bukan seperti umat zaman Nabi Muhammad yang tidak tahu tentang Islam. Mereka jelas dilihat menyembah berhala dan mengamalkan adat istiadat nenek moyang mereka. Akan tetapi, umat akhir zaman ini lebih hebat pemikiranya. Bermacam ilmu yang dipelajari sehingga menjadikan diri mereka terpesong ke sana sini. Mustahil untuk mereka tidak tahu tentang Islam itu agama Allah. Oleh itu, disebabkan kekurangan ilmu tentang Islam dan tidak mengenali al-Khaliq, berlakulah kemaksiatan ajaran sesat yang menular. Apa yang lebih menyedihkan, orang yang bijak pandai dan Alim juga terlibat dalam kemaksiatan ini. Nauzubillahi min zalik!
Maaf mungkin berat untuk dijelaskan soal Jemaah dalam entri ini akan tetapi cukuplah sekadar kita tahu apa yang kita pelajari dan untuk apa kita mempelajarinya. Selagimana ianya tidak terkeluar dari landasan hukum syarak maka bulatan pengecas iman itu tetap dapat dilaksanakan. Point penting, bertanyalah dengan orang yang lebih tahu dan jangan sesekali memasukkan diri kita ke dalam jurang yang membahayakan iman. Andai was-was, berdoalah semoga diberi petunjuk dan hidayah untuk kembali semula kepada jalan yang sebenar.
Wallahu A'lam.
Diharap sahabat dan sahabiah semua menantikan entri saya seterusnya...
No comments:
Post a Comment