Thursday, February 28, 2013

Perlu ke jadi baik?

                                           Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum pembuka bicara kepada para sahabat semua. Alhamdulillah thumma alhamdulillah. Syukur kehadrat Allah s.w.t kerana masih mengurniakan nikmat Islam, iman dan kesihatan yang baik kepada kita. Bayangkan sekiranya Allah menarik nikmat kesihatan kita, MasyaAllah susahnya untuk kita melakukan ibadah, bekerja dan aktiviti harian yang lain. Baiknya Allah pada kita. Saat kita leka dan melupakanNya, Dia masih istiqamah mengurniakan nikmat pada hambaNya tapi sejauhmana kesyukuran yang kita panjatkan? Renung-renungkanlah.. Firman Allah mafhumnya: " sekiranya kamu bersyukur nescaya Aku tambah nikmat kepadamu dan sekiranya kamu kufur, sesungguhnya azabKu amat pedih."


         Tajuk entri pada kali ini, saya petik daripada sebuah program yang dianjurkan oleh PEMBINA di UKM  bersempena pembukaan semester baru sesi ini. Program yang diberi nama 'Jom Bina Hati' (JBH) untuk pelajar muslimah di UKM. Sebelum ini, sudah beberapa kali saya join program JBH tapi kali ini berbeza sedikit. JBH pada malam tu sungguh meriah dengan kehadiran adik-adik yang berlumba-lumba nak jadi baik. Alhamdulillah, sememangnya Allah menciptakan manusia itu fitrahnya kepada kebaikan. Walau sejahat atau sedajal mana seseorang tu pasti di sudut hati kecilnya suka pada kebaikan. 


       JBH pada malam tu start agak lewat disebabkan masalah yang tak dapat dielakkan. Sesungguhnya manusia hanya merancang dan Allahlah sebaik-baik perancang dan penentu segala kejadian yang berlaku. Ukhti Zatil Ilyani telah di jemput untuk menyampaikan pengisian. Menarik! Sangat menarik! 
Saya nak kongsikan beberapa poin yang saya ambil daripada Ukhti Zatil. Banyak sangat sebenarnya isi yang diberi tapi ini antara poin yang menyentuh hati saya.

        Perlunya jadi baik, kenapa? 

Sebab-sebabnya ialah Allah telah menggariskan dua jalan kepada manusia. Pertama jalan ketaqwaan dan kedua jalan kefasikan@kejahatan. Firman Allah dalam Surah as-Syams ayat 8-10, mafhumnya, "maka, Kami mengilhamkan kepada manusia jalan kefasikkan dan ketaqwaan. Maka beruntunglah siapa yang membersihkannya (jiwa). Dan rugilah kepada siapa yang mengotorinya (dengan perbuatan maksiat)."

Manusia yang normal, mereka akan memilih jalan ketaqwaan. Walhal golongan yang tidak beriman mereka juga memilih kebaikan. Kita buat amal jariah, mereka juga beramal jariah. Akan tetapi adakah amalan mereka diterima? Walau sebanyak mana amal jariah yang mereka lakukan, sebesar zarah pun tidak akan diterima oleh Allah. Jalan ketaqwaan yang dimaksudkan adalah berbeza dengan jalan kebaikan yang biasa dilalui oleh semua manusia. Jalan ketaqwaan khas untuk ummat Islam sahaja. Private place. Special from Allah. 

Taqwa itu ertinya takut dan taat. Orang yang beriman tak semestinya bertaqwa. Manakala orang yang bertaqwa semestinya dia beriman dengan sebenar-benar iman. Masalah ummat hari ini berlaku dan berleluasa disebabkan runtuhnya nilai taqwa dalam hati ummat Islam. Kita lihat secara zahirnya mereka adalah Islam tapi adakah cukup dengan bergelar Islam tanpa melakukan amalan-amalan yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Malunya melihat ummat Islam merompak, berjudi, berzina, buang anak, Nabi pernah ajar ke ummat Islam buat semua tu?!

Cukup ke jadi baik sorang-sorang?

Ibadah...Khalifah...apa maksudnya ni?

Dua tugas penting kepada manusia yang Allah ciptakan. Eh Allah cipta kita bukan sia-sia tau! Bila kita bertaqwa, kita pasti akan melakukan ibadah. Tidak kira urusan apa yang dilakukan pasti diniatkan kerana Allah. Bila dah bertaqwa sekaligus tugas khalifah itu wajib dilakukan iaitu menjaga keharmonian dan keamanan bumi. Semua kena jaga, pokok kena jaga, haiwan kena jaga, manusia pun kita kena jaga. Tak semua manusia berilmu. Ilmu manusia terbatas dan terhad. Ada orang pakar bidang astronomi, sains, dan macam-macam lagi. Tapi ada satu ilmu yang wajib semua orang tahu dan belajar iaitu ilmu tentang agama, agama Islam yang mulia.

      Apa yang kita belajar, kita sampaikan. Pesan Nabi, "sampaikanlah walaupun satu ayat". So, dah ada ilmu kongsi dengan orang lain. Orang lain pulak, kongsi dengan kawan-kawan dia yang lain. Wow! ilmu kita berkembang dan pahala kita pun berterusan. Macam MLM juga lah. Orang lain buat MLM untuk dapat downline dan menjana duit, kita pula buat MLM untuk menjana pendapatan kat akhirat. MasyaAllah. Saya selalu ingat kata-kata Saidina Ali r.a, beliau berpesan, "ilmu akan menjaga kita sebaliknya harta,kita yang perlu menjaganya."

Apa langkah utama untuk jadi baik?

Niat yang ikhlas, istiqamah dan bergaul dengan orang yang solehah. Itu je kuncinya. Kawan kita umpama cermin diri kita. So, bila kita di kelilingi kawan yang baik-baik dan solehah maksudnya orang pun akan pandang kita baik juga. Apa yang lebih penting Allah pandang dan kasihkan kita.

Amacam dah sedia jadi baik? Nak tak jadi baik? Tepuk dada tanya iman.

InsyaAllah jumpa pada entri seterusnya. 





















Friday, January 11, 2013

“IBU DOAKAN AKU!”


Doom!
Bunyi dentuman itu mengejutkan lamunanku seketika. Terdapat sebuah kereta yang tayarnya meletup di hadapan rumahku. Aku tidak membantu, hanya mampu melihat beberapa orang jiranku menolong lelaki tersebut menggantikan tayar keretanya. Awan seperti berlari-lari di awangan langit dan aku masih di sini. Sering kali mengenang kenangan manis bersama ibu. “Rindu sungguh hati ini padamu ibu.” Bisik hatiku. Mungkin jiran-jiran merasa hairan kenapa aku gemar duduk di atas kerusi ini pada waktu petang kerana aku akan termenung dan melayan perasaanku. Kerusi ini ayahku buat khas untuk ibu. Ayah bukanlah seorang tukang kayu tapi ayah pandai menukang. Rumah yang kami huni ini juga dibuat oleh ayah sendiri. Setiap pagi ibu akan duduk di atas kerusi ini dan membaca al-Quran serta buku-buku agama. Dan aku akan membuka TV9 untuk menonton rancangan kegemaranku ‘Tanyalah Ustaz’. Sementara kakak dan abangku yang lain menyambung episod mimpinya selepas solat subuh.

Hanya kerusi ini menjadi kenanganku bersama ibu. Aku pernah bertanya pada ibu, “ mengapa ibu suka duduk di atas kerusi ini sedangkan ada banyak lagi sofa yang selesa diduduk?” Ibu menjawab, “ setiap pemberian suami itu wajib kita hargai.” Hatiku tersentuh dengan jawapan ibu. Ketika itu aku berumur 12 tahun, sudah tentu belum bersuami dan lambat lagi untuk aku berumah tangga akan tetapi aku menyimpan cita-cita untuk menjadi isteri yang baik persis seperti ibu.

Aku sangat rapat dengan ibu. Ke mana sahaja ibu melangkah pasti akan aku ekori. Ke pasar, ke bandar malah ke hospital juga aku ikut. Aku bukanlah jenis budak yang suka meminta macam-macam daripada ibu akan tetapi aku lebih gembira dapat menemani ibu ke sana dan ke mari. Sering kali ibu akan berpesan kepadaku, akan tetapi kali ini bunyi nasihat dan pesanan itu menyebabkan butiran mutiara air mataku mengalir. Pesan ibu, “ Fatimah, kalau ibu tiada nanti kamu mesti terus belajar bersungguh-sungguh ya. Doa ibu selalu mengiringi kamu. Ingat susah payah ayah mencari wang untuk keluarga kita.” Aku terasa aneh dengan nasihat dan pesanan itu tapi aku tidak mengendahkannya. 

Lazimnya kalau ibu ke hospital, pasti ibu akan menaiki bas atau teksi sendiri kerana ayah sering sibuk dengan perniagaannya. Aku tidak tahu mengapa ibu sering ke hospital. Kadang-kadang ibu tidak memberitahu ayah dia ingin ke hospital akan tetapi ibu hanya memberitahu ingin ke bandar membeli barang dapur. Ketika itu aku tidak memahami maksud ibu berbuat demikian. Hatiku berbisik sendirian, “adakah ibu berbohong pada ayah? Atau mungkin ibu mempunyai alasannya yang tersendiri.” Kakak dan juga abangku masing-masing sibuk dengan persediaan peperiksaan mereka. Aku sahaja yang masih tiada semangat untuk membuat persediaan peperiksaan UPSR. Ibu kata aku pemalas dan kerana itu juga ibu sering mengungkapkan harapannya padaku supaya aku bersemangat untuk belajar dan berjaya. Selepas mendengar nasihat dan pesanan ibu yang sudah berkali-kali diulang semangatku untuk belajar mulai terangsang.

6 bulan sebelum UPSR aku bertungkus-lumus menelaah pelajaran. Aku ingin membanggakan ibu dan ayah. Kakak dan abangku sudah melepasi peringkat ini dahulu dan keputusan mereka sangat membanggakan ibu dan ayah. Hampir setiap tahun di sekolah, mereka mendapat anugerah pelajar cemerlang dan aku juga mahu seperti itu. Semangatku semakin meruap untuk belajar dan kerana itu aku meminta supaya dimasukkan ke asrama untuk lebih fokus dalam pelajaran. Permintaanku sungguh berat diperkenankan oleh ibu. “ Fatimah nak masuk asrama? Ibu tahu anak ibu ni rajin dan pandai menguruskan diri tapi ibu risau kalau anak ibu tak ada depan mata ibu.” Aku menjawab, “ Ibu, Fatimah masuk asrama kan untuk dapatkan yang terbaik dalam UPSR. Fatimah nak banggakan ayah dan ibu. Lagipun dulu kakak dan abang masuk asrama juga, ibu tak pernah bantahpun keputusan mereka.” Aku tidak faham mengapa ibu agak berat mengizinkan aku untuk tinggal di asrama. Malam itu, aku tidak makan malam bersama keluarga seperti biasa. Aku terperap di dalam bilik dan menunjukkan protes terhadap ibu. Aku tahu perbuatan ini tidak elok akan tetapi entah kenapa hatiku sangat berkeras untuk masuk ke asrama. Surat keizinan untuk tinggal di asrama harus di tanda tangan oleh ayah dan ibu. Ayah sudah mengizinkan tapi ibu masih belum memberi kata putus. 

Keesokan harinya, setelah bersiap-siap untuk ke sekolah, aku melihat surat kebenaran tersebut berada di atas meja dan ibu telah pun menandatanganinya. Wajahku tampak gembira dan terus menuju ke arah ibu lalu memeluknya sambil berkata, “ Terima kasih ibu mengizinkan Fatimah tinggal di asrama. Insya-Allah Fatimah takkan menghampakan ibu.”  Ibu menjawab, “ Sama-sama anakku, belajarlah dan hargai segala peluang yang ada. Doa ibu sentiasa di sisimu.” Setiap kali ibu mendoakan pasti aku akan meng’amin’kan doa tersebut. Doa seorang ibu itu antara doa yang mustajab. Beberapa hari sebelum masuk ke asrama, ibu membantu aku mengemas pakaian dan menyediakan segala kelengkapan untuk tinggal di asrama. Ibu memastikan tiada satu benda pun yang tertinggal atau terkurang.

Hari ini adalah hari kemasukanku ke asrama. Ibu dan ayah sahaja yang menghantarku. Kakak dan abang tidak ikut sama kerana mereka mempunyai aktiviti lain berkaitan dengan bengkel motivasi di sekolah mereka. Jarak sekolah dan rumahku hanyalah 15 hingga ke 20 minit. Sebelum ini aku merasa tidaklah terlalu jauh. Akan tetapi kali ini terasa seperti jauh sekali. Wajah ibu tampak kurang ceria. Aku tahu mungkin ibu masih berat hati, tapi ini adalah keputusanku. Aku mesti teruskan. Oleh sebab jarak rumah dan sekolahku tidaklah terlalu jauh, ayah menghantarku agak lewat sedikit sekitar jam 5 petang dan waktu habis penghantaran pelajar adalah pada pukul 6 petang. 

Dalam keadaan yang singkat itu, ayah dan ibu segera menolong aku memasukkan barang-barang ke kawasan asrama. Sebelum pulang, ibu sempat berpesan. Sekali lagi pesanan yang amat menyentuh kalbuku. Pesan ibu, “ Jaga diri, jaga solat anakku dan jangan lupa membaca al-Quran. Ibu harap Fatimah dapat berdikari tinggal di asrama. Kalau ibu tiada nanti Fatimah kena terus belajar ya. Ibu doakan anak ibu berjaya.” Aku mulai sebak dan lidahku terkelu untuk berkata-kata. Ibu dan ayah beransur pulang dan bayangan kereta sama-samar kelihatan. Aku memerhatikan kereta ayah berlalu sehingga ke hujung anak mata. Tiba-tiba pengawal asrama menarik perhatianku dengan berkata, “ Adik, masuk ke asrama cepat. Sebentar lagi pak cik akan tutup pagar ini.” Aku memandang pengawal tersebut dengan mata yang terkebil-kebil sambil berkata, “ Baiklah pak cik.” Suaraku sayu. Entah kenapa hati terasa sangat pilu, mungkin ini pertama kalinya aku berjauhan dengan ayah dan ibu. Kakak dan abang sering mengejek aku seorang yang kuat merajuk dan kuat menangis. Kadang-kadang aku cuba kuatkan hati untuk tidak menangis akan tetapi anak bongsu memang begini. Manja.

Masa berlalu, sehari demi sehari. Seminggu demi seminggu. Aku gembira tinggal di asrama. Kawan-kawan ramai dan semuanya baik-baik belaka. Ibu dan ayah melawatku pada setiap hujung minggu. Setiap kali ayah dan ibu datang melawat pasti mereka akan membawa makanan kegemaranku. Kakak dan abang tidak turut serta kerana mereka juga tinggal di asrama. Masing-masing sudah tingkatan empat dan lima.

Pada suatu hari, aku menunggu kedatangan ayah dan ibu yang pasti akan datang melawatku setiap minggu. Akan tetapi kali ini mereka tidak kelihatan. Bahkan kelibat kereta ayah juga tidak aku nampak. Hati ini terdetik, “Kenapa ayah dan ibu tak datang?...




Bersambung...